| Sebab Konflik Hamas: Fatah |
|
|
|
|
APA yang berlaku di Gaza sekarang ada kaitan dengan kepelbagaian kegagalan usaha oleh Israel dan AS dalam menjatuhkan kerajaan Hamas dipilih rakyat. Laporan menyebut konflik terbaru Hamas-Fatah yang tercetus semula sejak dua minggu lepas adalah lahir daripada usaha kecundang AS dan rejim Israel menyisihkan Hamas daripada hati rakyat mereka.
Sebagaimana diketahui, rakyat Palestin telah memberikan kepercayaan dan undi kepada pihak yang diyakini boleh dan bersedia untuk mempertahankan hak mereka dan membebaskan tanah air yang terjajah, iaitu Hamas. Maka, pada hari pembuangan undi rakyat Palestin telah menghukum Fatah dan memberikan ‘nyawa’ mereka kepada Hamas, sekali gus memberi mandat kepada Hamas untuk membentuk PA menggantikan Fatah. Ini tidak menyenangkan Israel, Fatah dan AS. Keengganan Hamas untuk memperakui syarat-syarat ini telah menyebabkan rakyat Palestin menanggung sekatan ekonomi menyeluruh yang tidak pernah disaksikan oleh dunia. Tetapi sokongan tetap padu kepada Hamas. Ini tidak disukai Israel dan sekutunya. Di sinilah kelompok-kelompok tertentu di kalangan Fatah dipergunakan oleh Israel. Mahmud Abbas, Presiden PA memang dikenali sebagai orang kesayangan AS dan Israel kerana peranan pentingnya dalam menerokai usaha damai dengan Israel. Keadaan ini menyebabkan kerajaan Hamas pimpinan Perdana Menteri Ismail Haniyeh menghadapi kesukaran untuk bertindak mengawal ketenteraman. Bahkan beliau turut menerima ugutan bunuh daripada puak-puak bersenjata yang diterajui oleh kumpulan Fatah. Tindak-tanduk kumpulan pengganas ini turut menyukarkan inisiatif kerajaan untuk menyelesaikan isu penculikan ke atas wartawan Alan Johnston yang dilakukan oleh sebuah kumpulan bersenjata Palestin. Keadaan semakin meruncing apabila Mahmud melantik Muhammad Dahlan untuk mengetuai unit keselamatan. Muhammad juga tidak pernah berselindung dalam menzahirkan hasratnya untuk melihat kemusnahan Hamas. Keadaan inilah yang menyebabkan kerajaan perpaduan Palestin di bawah pimpinan Ismail mengambil keputusan untuk membersihkan jalan-jalan raya di Hamas daripada ancaman kumpulan-kumpulan bersenjata yang mengganggu ketenteraman awam. Maka apa yang berlaku adalah operasi keselamatan untuk memulihkan keamanan dan mengembalikan ketenteraman awam. Ia bukan tindakan balas dendam yang digambarkan dalam media antarabangsa atau satu tindakan rampasan kuasa. Bagaimana mungkin sebuah kerajaan yang sah pilihan rakyat ‘merampas kuasanya’ sendiri.
Kerajaan yang sedia ada adalah kerajaan yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi sedangkan kabinet lantikan Mahmud tidak mendapat mandat rakyat. Malah Perdana Menteri lantikan Mahmud iaitu Salam Fayyed hanya memperoleh 2.4 peratus undi dalam pilihan raya legislatif Palestin pada tahun 2006. Namun apa yang penting tindakan Mahmud dan orang dilantik mendapat restu AS dan Israel. Sebaik sahaja Mahmud membubarkan kerajaan dan melantik kabinet yang baru, ucapan tahniah datang secara bertalu-talu daripada pentadbiran Washington dan Olmert. Kini jelaslah siapakah sebenarnya yang menjadi dalang sebalik semua peristiwa terkini di Gaza. Ketika ini Israel yang tidak menyenangi apa yang berlaku di Gaza telah mengerahkan bala tenteranya yang terdiri daripada dua ketumbukan kereta kebal dan satu ketumbuhan tentera infantri sedang menunggu arahan untuk melakukan serangan besar-besaran ke atas Gaza. Seramai 12,000 pejuang Hamas sedang bersedia menghadapi serangan yang bakal dilancarkan pada bila-bila masa. Namun jika serangan ke atas selatan Lebanon pada tahun 2006 boleh dijadikan ukuran dan petunjuk, besar kemungkinan dan besar harapan penduduk dunia khususnya umat Islam, Israel akan mengulangi kesilapan besar dan bakal menanggung kekalahan jika mereka membuat perhitungan yang salah dengan menyerbu Gaza.
|
22 March 2004 |